PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dinasihat mengelak perjalanan yang tiada keperluan mendesak ke Bangladesh ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 negara itu yang berlangsung Ahad ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, rakyat Malaysia yang bermastautin di negara itu juga dinasihatkan sentiasa peka dan berjaga-jaga serta menjauhi sebarang bentuk perhimpunan politik.
Katanya, sebarang perkembangan terkini mengenai perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka memantau rapat perkembangan di Bangladesh berkaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-12 Bangladesh yang berlangsung pada 7 Januari ini,” katanya.
Pilhan Raya Umum Bangladesh pada hujung minggu ini dijangka tegang ekoran tindakan pembangkang yang memboikot proses pengundian negara tersebut.
Pada bulan lalu, puluhan ribu penyokong parti pembangkang utama Bangladesh turun ke jalan raya, tanpa bimbang akan ditangkap menjelang pilihan raya kebangsaan negara itu.
Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang kepemimpinan tertingginya dipenjarakan atau dalam buangan, menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina berundur dan memberi laluan kepada kerajaan berkecuali untuk menyelia pilihan raya pada 7 Januari ini, yang diboikot oleh parti pembangkang itu.
Dalam pada itu, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka yang beralamat di House No. 19, Road No. 6, Baridhara Diplomatic Enclave, Dhaka.
Selain mereka boleh menghubungi talian +880241081892/1895 atau +88 018 4179 8077 (kecemasan) atau menerusi emel [email protected]. – UTUSAN