ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan menyaman pihak yang menggambarkan berlaku rasuah RM6 juta dalam persatuan itu sehingga mengaitkan tuduhan berkenaan terhadap presiden serta individu lain dalam KFA.
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, surat saman itu akan dihantar ke rumah atau pejabat pihak-pihak terbabit tidak lama lagi.
“Pihak-pihak yang bersungguh cuba menggambarkan berlaku rasuah RM6 juta dalam KFA dan mengaitkan tuduhan rasuah itu dengan individu tertentu terutamanya presiden dan kakitangan KFA, sila tunggu surat saman di rumah dan di pejabat masing-masing,” katanya.
Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik ke Facebook beliau awal pagi ini.
Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan memberi keterangan selama tiga jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya berkaitan dakwaan rasuah melibatkan KFA.
Kenderaan jenis Mercedes berwarna perak membawa Muhammad Sanusi dilihat meninggalkan ibu pejabat suruhanjaya itu pada pukul 11.37 pagi, selepas dilihat memasuki ibu pejabat berkenaan pada pukul 8.30 pagi.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, KFA juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan tuduhan dan siasatan SPRM berhubung perkara itu.
Katanya, tuduhan itu sengaja ditularkan demi mencapai tujuan politik pihak tertentu untuk memburukkan KFA dan pimpinan kerajaan negeri Kedah.
Justeru beliau berkata, KFA turut akan mendedahkan beberapa dokumen penting yang berkaitan bagi menunjukkan perkara sebenar yang berlaku.
“Dokumen-dokumen yang bersabit dengan penswastaan KDA FC, permohonan pinjaman RM5 juta, bayaran balik RM1.3 juta akan didedahkan,” katanya.
Tambah beliau, KFA akan turut mendedahkan dokumen berkaitan permohonan projek oleh pihak-pihak terbabit yang tidak diluluskan kerana tiada kelayakan dan dokumen penyata beraudit yang menunjukkan ketelusan pengurusan kewangan persatuan itu.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau adalah sasaran sebenar pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam KFA, manakala empat individu ditahan SPRM adalah ‘aksesori’. -UTUSAN