PUTRAJAYA: Berita baik buat peminat bola sepak tempatan apabila perlawanan bola sepak Piala Asia Qatar 2023 bermula 12 Januari ini akan disiarkan saluran RTM.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perlawanan itu bukan hanya membabitkan Pasukan Harimau Malaya sahaja, malah peminat sukan itu boleh menonton kesemua perlawanan berkenaan.
“Ada pihak yang bertanya adakah ia akan disiarkan di RTM. Jawapannya ya dan akan disiarkan bermula 12 Januari ini.
“Saya sudah mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib dan Insya-Allah ia akan disiarkan,” katanya.
Harimau Malaya bakal berdepan cabaran besar di Piala Asia apabila diundi bersama juara dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.
Harimau Malaya akan memulakan aksi menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin depan disusuli pertemuan melawan Bahrain pada Sabtu di Stadium Jassim Bin Hamad serta menentang Republik Korea pula pada 25 Januari di Stadium Al Janoub.
Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama edisi 2007 selepas dua penampilan iaitu pada 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait. – UTUSAN