Petugas Masjid Ridwaniah bertugas 24 jam bantu agih air kepada penduduk - Utusan Malaysia

Petugas Masjid Ridwaniah bertugas 24 jam bantu agih air kepada penduduk

PEGAWAI Masjid Ridwaniah, Ahmad Kechik (kanan) memerhatikan sukarelawan Masjid Ridwaniah di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang mengisi air ke dalam botol untuk memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan air sepanjang gangguan air berlaku di kawasan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BAYAN LEPAS: Petugas masjid yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa dan ahli kariah Masjid Ridwaniah di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini bertugas selama 24 jam sepanjang gangguan air di kawasan itu berlaku bermula Rabu lalu.

Siak Masjid Ridwaniah, Rosli Hashim berkata, petugas-petugas masjid berkenaan akan membantu mengagihkan air dari tangki fleksi yang diletakkan di luar masjid berkenaan kepada penduduk setempat.

ROSLI HASHIM

Katanya, cara itu lebih memudahkan orang ramai untuk mengambil air memandangkan kawasan tersebut menjadi tumpuan pelbagai golongan untuk mendapatkan bekalan air.

”Sepanjang gangguan air berlaku, petugas masjid secara sukarela bertugas 24 jam membantu orang ramai mengagihkan air dari tangki fleksi, mereka akan mengisi air ke dalam botol atau baldi yang dibawa penduduk.

”Ada penduduk yang datang dari Bayan Lepas, Sungai Ara mengambil air di sini kerana kawasan mereka sudah kehabisan air,” katanya di sini hari ini.

Bermula 10 Januari lalu sehingga 14 Januari ini, kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama mengalami gangguan bekalan air.

Gangguan tersebut berlaku untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan setakat hari ini pengguna di Seberang Prai dan sebahagian pengguna di pulau telah memperoleh bekalan air.

Dalam pada itu, penduduk yang ditemui di Flat Bandar Bharu Perda, Teluk Kumbar, Siti Nur Syazwani Khairul Hisyam, 25, berkata, dia dan adiknya, Siti Nurhidayu, 21, mengambil air daripada lori tangki di bawah flat mereka untuk kegunaan harian seperti mandi, membasuh pinggan dan sebagainya.

PENDUDUK Flat Bandar Bharu Perda, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, Siti Nur Syazwani Khairul Hisyam (kiri) dan adiknya, Siti Nurhidayu mengisi air dari lori tangki ke dalam botol untuk kegunaan harian ekoran gangguan bekalan air sejak Rabu lalu.

”Kami mempunyai satu tong besar air yang disimpan di rumah untuk kegunaan memasak, namun air untuk mandi dan kegunaan harian lain telah habis.

“Kami terpaksa mencatu air dan pagi tadi kami hanya membasuh muka sahaja, kami hanya mandi pada waktu malam,” katanya.

Siti Nur Syazwani yang berkerja di sebuah kilang berkata, dia bernasib baik kerana bercuti hari ini dan esok, sekali gus dapat menjimatkan penggunaan air di rumah.

Sementara itu, Kam Leong Hoe, 70, berkata, dia mengambil air dari lori tangki jumbo hari ini buat kali pertama kerana bekalan air yang disimpan di dua tong besar di rumahnya telah habis digunakan.

”Saya perlu berulang-alik beberapa kali dari rumah dengan menggunakan kereta untuk mengisi semula air ke dalam tong yang telah habis di rumah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya