PETALING JAYA : Seorang pesara mendakwa kerugian RM10 juta selepas terpedaya dengan pelaburan berasaskan mata wang kripto dikenali Accerx.
Satu laporan polis dibuat wanita berusia 80 tahun itu yang memaklumkan mula menyertai skim pelaburan tersebut selepas dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatApps yang mempromosikan skim pelaburan dikenali ‘accerx.com’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, melalui kumpulan sembang itu, mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto.
Kata beliau, mangsa kemudian diminta membuat bayaran balik selepas pembelian kripto itu berjaya.
“Terpedaya dengan helah yang digunakan, mangsa membuat 13 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat yang berbeza membabitkan keseluruhan wang yang dibayar adalah RM10,455,288.
“Mangsa mulai sangsi dengan kesahihan pelaburan itu apabila masih diminta membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramli berkata, JSJK memberi jaminan siasatan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan sindiket penipuan pelaburan ini dapat ditumpaskan.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai khususnya warga emas dinasihatkan lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan dalam talian yang dipromosikan melalui laman sosial.
“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan,” katanya. – UTUSAN