Pesara JKR didenda RM30,000 tipu permohonan permit kerja bahan batuan pasir - Utusan Malaysia

Pesara JKR didenda RM30,000 tipu permohonan permit kerja bahan batuan pasir

AHMAD Zainuddin Bontak (kanan) didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menipu berkaitan permohonan permit kerja, 12 tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan permohonan permit kerja bahan batuan pasir, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Zainuddin Bontak, 65, juga berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Ahmad Zainuddin mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit yang ketika kejadian bertugas sebagai pembantu awam JKR Cawangan Mekanikal Ipoh didakwa memperdaya seorang ahli perniagaan berusia 52 tahun dengan mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM30,000 bagi membantu permohonan permit kerja bahan batuan pasir di negeri Perak.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Tambun, Sunway City di Ipoh pada pukul 11 pagi, 19 Oktober 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN