Persiapan kahwin terbantut rumah dilanda banjir - Utusan Malaysia

Persiapan kahwin terbantut rumah dilanda banjir

SULONG Hasan (kanan) bersama ahli keluarga membersihkan rumah mereka setelah banjir surut di Kampung Kepah, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Persiapan sebuah keluarga di Kampung Kepah, dekat sini mengadakan kenduri kahwin pada Sabtu ini terbantut apabila rumah mereka dilanda banjir, semalam.

Sulong Hasan, 69, berkata, rumahnya dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter sekaligus menyebabkan kerja-kerja pemasangan kanopi dan pelamin bagi perkahwinan anaknya terpaksa ditangguhkan.

Menurutnya, ekoran air mula surut awal pagi hari ini, dia sekeluarga sedaya-upaya memerah keringat membersihkan rumah agar segalanya berjalan lancar pada hari pernikahan anaknya, Masuze Mohd. Yusof, 39, nanti.

“Sepatutnya kerja pemasangan pelamin dan kanopi dilakukan semalam tetapi tidak dapat dilakukan kerana rumah ditenggelami banjir.

“Saya sekeluarga hanya ada masa dua hari sahaja untuk lakukan persiapan menjelang tarikh kenduri.

“Walaupun air telah surut, namun melihat keadaan cuaca, hati saya sebagai ibu tetap berdebar dan bimbang andai banjir berlaku lagi.

“Awal pagi hari ini kami sekeluarga segera bersihkan rumah terutamanya di kawasan ruang tamu yang menjadi tempat untuk pengantin bersanding atas pelamin,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, hari ini.

Tambah Sulong, kerja-kerja pemasangan kanopi serta pelamin dijangka dapat dilakukan esok.

“Jangka masa yang ada begitu singkat untuk mengemas rumah mengakibatkan dia sekeluarga sedikit kelam-kabut,” ujarnya.

Katanya lagi, dia kini hanya mampu berdoa serta tawakal agar akad nikah dan kenduri majlis kahwin anaknya di rumah itu dapat dilangsungkan dengan sempurna nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya