PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi hari ini memutuskan supaya program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia diperluaskan ke 10 lokaliti baharu membabitkan peruntukan sebanyak RM4 juta setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos RM4 juta itu adalah bagi menampung kos operasi program berkenaan di 10 lokaliti baharu itu.
Beliau berkata, sebelum ini, sebanyak 32 lokaliti membabitkan tujuh negeri terbabit dalam program pelepasan nyamuk berkenaan sejak tahun 2019.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 19 lokaliti telah lengkap membabitkan operasi selama dua tahun enam minggu sebelum mendapati kes denggi turun kepada 45 peratus hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan.
“Jawatankuasa juga mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dilibatkan dengan menjadikan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia sebagai Projek Angkat oleh PBT,” katanya menerusi kenyataan sejurus mesyuarat jawatankuasa itu di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat pada hari ini turut memutuskan supaya usaha dipertingkatkan bagi aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan dan larvisiding (usaha membunuh jentik-jentik) melalui sumber penyumberluaran.
Jelasnya lagi, setiap ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri juga perlu dilibatkan dalam jawatankuasa kawalan dan pencegahan denggi peringkat negeri dan daerah.
Katanya, satu kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu yang menggariskan langkah-langkah menangani denggi untuk persetujuaan jemaah menteri.
Pada tahun 2023, sejumlah 123,133 kes denggi telah dilaporkan berbanding 66,102 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 86.3 peratus.
Selain itu, jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi pula adalah sebanyak 100 kematian pada tahun 2023 berbanding 56 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2022. – UTUSAN