KANGAR: Bermula 1 Februari ini, semua pemilik dan pengusaha premis perniagaan di Perlis diwajibkan untuk memaparkan tulisan Jawi pada papan tanda di kedai masing-masing.
Bagaimanapun, arahan bagi pelaksanaan itu hanya tertakluk buat papan tanda baharu yang ingin dipasang di premis masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, langkah pelaksanaan itu adalah bertujuan untuk menghidupkan dan menyemarakkan semula penggunaan tulisan Jawi.
“Seperti sedia maklum, tulisan Jawi merupakan salah satu tulisan asal di negara kita sejak sekian lama dan kerajaan negeri ingin menghidupkan semula dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, ramai generasi muda pada masa kini tidak mengetahui tentang tulisan Jawi, jadi langkah tersebut sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan itu, Asrul berkata, buat masa ini, kerajaan negeri sedang dalam peringkat akhir bagi melengkapkan garis panduan pelaksanaan berkenaan sebelum ia mula dikuatkuasakan bermula Februari depan.
Beliau berkata, garis panduan tersebut akan dimasukkan ke peringkat Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan satu unit juga bakal ditubuhkan bagi pelaksanaan itu.
“Tindakan menurunkan papan tanda premis berkenaan boleh diambil sekiranya pihak berkaitan gagal mematuhi garis panduan yang akan dikuatkuasakan selepas ini,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan itu juga akan membabitkan kolaborasi bersama beberapa pihak seperti Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Munsyi Jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sementara itu, salah seorang pengusaha premis pengedar motosikal, di sini, Khor Ah Chien, 36, berkata, pihaknya mengambil inisiatif sendiri bagi memaparkan tulisan Jawi pada papan tanda di kedainya sebelum pelaksanaan itu dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.
Katanya, dia sememangnya terbuka dengan pelaksanaan oleh kerajaan negeri itu dan tidak mempunyai sebarang bantahan atau halangan.
“Saya tidak kisah malah turut ambil insiatif sendiri untuk masukkan tulisan Jawi pada papan tanda baharu yang kami tukar di kedai ini sebelum pelaksanaan itu dikuatkuasakan,” katanya.-UTUSAN