Perlis tampil kelainan malam ambang tahun baharu 2024 - Utusan Malaysia

Perlis tampil kelainan malam ambang tahun baharu 2024

PERLIS menampilkan kelainan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu 2024 dengan menganjurkan Himpunan Aid 4 Palestine yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis menampilkan kelainan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu 2024 dengan menganjurkan Himpunan Aid 4 Palestine yang berlangsung di Dewan 2020, di sini, malam tadi.

Terdapat pelbagai pengisian disediakan buat orang ramai pada majlis berkenaan yang bermula sekitar pukul 6.30 petang sehingga 12.25 malam itu.

Dianggarkan seramai lebih 1,000 orang pengunjung turut sama dalam majlis itu bagi bersama-sama bersolidariti ke atas nasib malang menimpa rakyat Palestin.

Program tersebut dimulakan dengan acara solat Maghrib secara berjemaah dan kemudiannya terdapat sesi tazkirah disampaikan oleh Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary.

PERLIS menampilkan kelainan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu 2024 dengan menganjurkan Himpunan Aid 4 Palestine yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Selain itu, terdapat juga sesi bual bicara Aid 4 Palestine melibatkan dua panelis terkemuka iaitu Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Pengerusi Aid 4 Palestine Malaysia, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Peserta majlis berkenaan turut diserikan dengan persembaham nasyid oleh pelajar Sekolah Rendah Islam At-Taqwa, Sekolah Menengah Agama Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah (ALMAAD) dan kumpulan Far East.

Majlis sambutan itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dengan kehadiran barisan Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri menampilkan kelainan pada kali ini atas dasar simpati dengan perjuangan rakyat Palestin yang ditindas kejam oleh rejim zionis.

“Tahun ini kita buat sambutan dengan suasana berbeza dan kerajaan negeri mengharapkan semua rakyat dapat menerimanya apabila mereka memahami keadaan yang berlaku.

“Kita buat sambutan secara sederhana pada malam ini dan kelainan yang dibawa ini akan membawa kepada keharmonian dalam kalangan rakyat,” katanya.

Bersempena tahun 2024 ini, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri turut mengharapkan agar seluruh rakyat dapat menyantuni pelancong dalam menjayakan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Beliau berkata, penduduk di negeri ini juga disaran mengambil peluang sebaiknya bagi penganjuran TMPs ini dengan meningkatkan ekonomi mereka.

“Semasa kunjungan saya ke Bukit Jernih baru-baru ini juga mendapati komuniti di situ mengambil kesempatan dengan sebaiknya bagi melayani pelancong yang datang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya