Perkembangan kajian SSPA akan dimaklumkan oleh PM - Utusan Malaysia

Perkembangan kajian SSPA akan dimaklumkan oleh PM

SSPA gaji
RAFIZI Ramli dalam sesi dialog awam bersama Kepemimpinan Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Status dan perkembangan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hanya akan dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ia melibatkan dasar dan sumber kewangan kerajaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun pelaksanaan SSPA yang dijangkakan bermula pada tahun hadapan, kerajaan perlu pastikan mempunyai sumber kewangan mencukupi dan mampan.

“Yang itu PM (Perdana Menteri) akan jawab, in fact tumpuan kita sebenarnya Kementerian Ekonomi kita tumpu kepada gaji sektor swasta dan sebenarnya soal gaji kakitangan awam ia berada dalam keputusan kerajaan.

“Cuma kerajaan kena pastikan bahawa sumber kewangan itu cukup dan mampan. Perkara itu sedang diuruskan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar, malam tadi.

Beliau menjelaskan, ketika ini kementeriannya bersama Kementerian Sumber Manusia adalah berkaitan gaji pekerja sektor swasta yang melibatkan dasar gaji minimum dan gaji progresif.

Cabaran persaraan pekerja sektor swasta

Menurutnya, pelaksanaan persaraan di peringkat swasta mempunyai cabaran berbeza apabila ia bukan sahaja melibatkan sumber kewangan, tetapi keyakinan majikan kepada kerajaan untuk bersama-sama kerajaan menaikkan gaji pekerja secara berperingkat.

Justeru, untuk melaksanakan perkara tersebut Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan ia perlu melibatkan pemberian insentif oleh kerajaan kepada majikan dan tidak boleh diwajibkan dengan sewenang-wenangnya seperti perintah gaji minimum.

“Sebab itu, dasar gaji progresif dengan kumpula rintis melibatkan voluntary opt-in serta insentif kerajaan kerana memang kita sedia maklum, kita tak boleh hendak mewajibkan sewenang-wenangnya macam perintah gaji minimum.

“Kerana kita kena ambil kira juga kemampuan syarikat, majikan dan ekonomi kita. Majikan terbesar dalam negara kita sebenarnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), 97 peratus daripada entiti perniagaan di negara kita adalah PMKS.

“Jadi, kalau PMKS nanti kalau kita hendak wajibkan, ada yang akan ‘gulung tikar’, naikkan gaji nanti ada yang hilang pekerjaan, kita kena seimbangkannya,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan perlu mengambil kira kemampuan majikan untuk menetapkan gaji progresif yang semestinya melibatkan insentif daripada kerajaan serta dilakukan oleh syarikat secara penyertaan sukarela.

Warga asing pemanfaat terbesar gaji minimum

Dalam pada itu, Rafizi menolak peningkatan berterusan gaji minimum tanpa mengambil kira pendapatan pekerja di peringkat lain yang akan mencetuskan wage compression sehingga menyebabkan gaji pekerja berpengalaman serta graduan baharu dilihat rendah.

“Kalau kita menaikkan gaji minimum, contohnya RM2,000 (berbanding RM1,500 sekarang) secara hipotesisnya dua tahun lagi kita naikkan. Adakah itu akan menyelesaikan masalah kos sara hidup sekarang? Tidak.

“Sama ada pembersihan, buruh, tapak pembinaan, ladang dan sebagainya kita menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 sebenarnya yang dapat manfaat itu adalah mereka sebab kebanyakan orang kita tidak membuat kerja itu.

“Sebab itu ia bukan semata-mata soal gaji minimum. Itu yang saya kena terangkan, kerana isu gaji dalam ekonomi kita adalah kepada pekerja-pekerja lain yang sepatutnya di bayar lebih tinggi dan bukannya pada paras kemahiran paling bawah, termasuklah graduan dan pekerja separa kemahiran berpengalaman.

“Apabila gaji minimum semata-mata dinaikkan, tetapi tidak ada campur tangan pada dasar gaji yang lain akan menyebabkan wage compression. Maksudnya gaji paling bawah naik, tetapi untuk membayar gaji pertengahan yang lain sama ada turun ataupun tak naik. Tiga empat tahun tiada kenaikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya