PETALING JAYA: Perjalanan politik yang dilalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digambarkan dalam senaskhah buku bertajuk ‘Anwar Ibrahim: Tenacious in Dissent, Hopeful in Power’ yang dilancarkan semalam.
Buku yang menceritakan mengenai perjalanan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ditulis oleh Prof. Dr. Khoo Boo Teik.
Ia bukan sahaja menceritakan perjalanan Anwar dalam medan politik tetapi mengenai harapan dan tekad beliau untuk mengubah nasib rakyat supaya menjadi lebih baik.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam satu kenyataan memaklumkan, buku tersebut menganalisis kira-kira 50 perjuangan Anwar iaitu bermula daripada sebagai seorang pelajar, aktivis sehingga diangkat pemimpin nombor satu negara.
“Ia juga Anwar sebagai pelajar nasionalis Melayu, aktivis Islam, pemimpin yang semakin meningkat dalam kerajaan, pengganti yang dipilih untuk jawatan perdana menteri, reformis yang dianiaya dan pemimpin pembangkang yang bangkit melalui kepayahan dan cabaran,” katanya.
Turut hadir semasa pelancaran buku tersebut adalah Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin; Penasihat Kanan Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Prof Dr. Jomo Kwame Sundaram; bekas Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung. – UTUSAN