Perhilitan tangkap empat gajah liar di Lenggong - Utusan Malaysia

Perhilitan tangkap empat gajah liar di Lenggong

DUA ekor gajah denak, Abot dan Rambai digunakan bagi memujuk dan menarik Yob Napi (tengah) yang ditangkap Perhilitan Perak di Kampung Chepor, Lenggong hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Empat ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di Kampung Chepor di sini, akhirnya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tiga ekor gajah ditangkap pada Jumaat lalu manakala seekor lagi pada Isnin.

“Kita menerima laporan berhubung kehadiran mamalia itu sejak dua bulan lalu apabila ada penduduk mendakwa kebun mereka dimasuki gajah dan tanaman musnah.

“Sehubungan itu, pemantauan dilakukan di kawasan berkenaan sebelum berjaya menangkap dua ekor gajah jantan dan dua ekor gajah betina baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Chepor, di sini hari ini.

Menurut Yusoff, seekor gajah jantan diberi nama Yob Napi dianggarkan berusia 35 tahun dengan anggaran berat tiga tan akan dilepaskan ke Hutan Simpan Belum hari ini.

Beliau berkata, Yop Napi dipindahkan bersama seekor gajah betina dinamakan Yong Hani berusia lingkungan 50 tahun dengan anggaran berat dua tan.

“Dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai digunakan bagi memujuk dan menarik gajah liar berkenaan sejauh kira-kira satu kilometer naik ke atas lori.

“Operasi memindahkan dua ekor gajah lagi akan dijalankan Sabtu ini kerana kita tidak mahu gajah denak terlalu letih dan tertekan ketika operasi dijalankan,” ujar beliau.

Tambah Yusoff, empat ekor gajah yang ditangkap itu merupakan kumpulan gajah (ID) Piah sebanyak 27 ekor yang berpecah dua dan memasuki kawasan kampung.

“Jika ikut kiraan, terdapat kira-kira 27 ekor gajah dan berpecah kepada dua kumpulan di mana 13 ke 14 ekor gajah bagi setiap kumpulan.

“Kawanan gajah lain telah pun dihalau semula masuk ke dalam Hutan Simpan Piah, sekiranya haiwan itu keluar semula dan masuk ke kawasan kampung, kita akan ambil tindakan tangkap,” katanya.

Operasi pemindahan gajah itu bermula pada pukul 9 pagi dengan disertai 30 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya