IPOH: Perbezaan ideologi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya mengganggu kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, begitu juga perseteruan lama tidak sewajarnya menjadi sebab untuk kedua-dua parti bercakaran dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya terutama isu kaum dan agama.
Menurutnya, sehubungan itu, apa jua perbezaan perlu diuruskan dengan baik agar tidak mengganggu kerjasama BN-PH.
“Setiap parti dalam gabungan mempunyai ideologi dan falsafah perjuangan masing-masing yang perlu dihormati. Begitupun jangan dibiarkan perbezaan ini menjadi punca kepada perbalahan.
“Jangan biarkan perseteruan lama menjadi sebab untuk kita bercakaran dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu.
“Kita perlu sentiasa berusaha untuk membolehkan perbezaan antara kita menjadi kekuatan dalam kerajaan dan ini sebenarnya telah berjaya kita lakukan setakat ini,” katanya.
Beliau berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Saarani berkata, mengurus perbezaan merupakan perkara asas dalam konteks berkerajaan kerana sejarah membuktikan kerajaan boleh runtuh akibat gagal menguruskan perbezaan.
Menurutnya, ia merupakan perkara asas yang diperhatikan oleh rakyat dan pihak lawan.
“Lawan sedaya upaya mahu menggambarkan kita gabungan politik yang rapuh akibat perbezaan termasuklah dalam soal ideologi mahupun falsafah perjuangan,” katanya.
Mengenai penganjuran konvensyen tersebut, Saarani berkata, konvensyen sulung BN-PH Perak itu untuk menguatkan kerjasama antara kedua-dua parti.
“Kita mesti bekerja, dilihat bekerja sebagai satu pasukan kerana ekosistem politik yang ada ketika ini sentiasa dibayangi naratif perpecahan.
“Rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang mempunyai kesatuan dalam tindakan dan bersama-sama untuk membangunkan negeri,” katanya. – UTUSAN