Peraturan baharu pekerja asing - Saifuddin Nasution

Peraturan baharu pekerja asing – Saifuddin Nasution

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri Tahun 2024 di Putrajaya - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mesyuarat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada Selasa depan antaranya bakal membincangkan mengenai peraturan baharu berhubung pekerja asing termasuk mereka yang diperdaya serta tidak diberikan sebarang pekerjaan oleh majikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat tersebut turut akan memperhalusi undang-undang dan akta sedia, sekiranya terdapat keperluan untuk penambahbaikan.

“Isu warga asing tidak ada pekerjaan sememangnya antara perkara yang kami akan perhalusi dalam mesyuarat nanti.

“Soal majikan bawa masuk (pekerja asing), kemudian pekerja tiada pekerjaan, soal majikan gagal patuhi peraturan ditetapkan, soal undang-undang sedia ada di bawah akta Imigresen atau kerja, apa sahaja, itu menjadi tumpuan kami.

“Kita juga kena lihat dari segi aspek undang-undang sama ada perlu kita tambah baik dari segi penguatkuasaannya, semua perkara itu menjadi fokus perbincangan kami pada 16 Januari ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri Tahun 2024 di sini hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya berhubung isu pekerja asing yang ‘menganggur’ atau langsung tidak diupah oleh mana-mana majikan dan bekerja dalam bidang bukan sektor dibenarkan di negara ini yang didapati kini menjangkau lebih 500,000 orang.

Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin berkata, KDN kini mempunyai pusat data sains tersendiri untuk memproses serta menganalisis data mentah (raw data) bagi tujuan kegunaan dalaman serta memberi syor yang lebih tepat.

Jelas beliau, data-data tersebut dikumpul daripada pelbagai agensi di bawah kementerian antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Mereka (agensi) ini kaya dengan data (tetapi) jika data itu kekal sebagai data mentah, ia tiada apa-apa makna. Jadi kami di KDN akan menubuhkan pusat data sains sendiri tanpa melibatkan perjawatan baharu, hanya menggunakan bakat di bawah KDN dalam bidang berkenaan.

“Fokus mereka adalah melakukan analisis ke atas semua data-data yang ada dalam kawalan kami dan daripada itu, pusat data berkenaan boleh membantu dalam menggubal sesuatu syor atau cadangan.

“Pada akhir analisis yang dibuat terhadap data-data seperti JIM, PDRM atau AADK, ia bakal memberikan satu dimensi baharu tentang bagaimana dapat membantu misalnya bahagian Imigresen atau perancangan strategik untuk diangkat sebagai syor kepada MDN dan juga kalau bersesuaian kepada Jemaah Menteri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya