ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang lagi individu disyaki meminta dan menerima rasuah bagi membatalkan kompaun dikeluarkan sebuah agensi penguat kuasa di negeri ini.
Suspek lelaki yang merupakan seorang penyelia keselamatan tapak pembinaan berusia 30-an itu ditahan pukul 11 malam tadi ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kedah, di sini.
Menurut sumber, suspek ditahan kerana dipercayai bersubahat bersama seorang penolong pegawai tadbir yang disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM5,000 daripada sebuah syarikat pada 2022.
Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membatalkan kompaun yang dikeluarkan sebuah agensi penguatkuasa terhadap syarikat berkenaan atas kesalahan tidak memiliki Perakuan Pematuhan Standard (PPS) untuk bahan binaan.
Perintah reman terhadap suspek selama enam hari sehingga 14 Januari ini dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.
Terdahulu, SPRM menahan seorang penolong pegawai tadbir berusia lingkungan 30-an bagi kesalahan sama yang turut direman selama enam hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. -UTUSAN