SHAH ALAM: Penternak-penternak ayam memberi amaran bakal berlaku kenaikan harga bahan makanan itu di pasaran berikutan peningkatan tarif air di seluruh negara bermula 1 Februari ini.
Menurut, Pengerusi Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan, Dr. Nasiman Sapari, peningkatan kos utiliti itu dijangka menyebabkan kenaikan kos pengeluaran sumber protein tersebut daripada 40 sen kepada 48 sen seekor.
Beliau berkata, ketika ini kos tersebut adalah sebanyak 7.2 peratus daripada berbanding pengeluaran ayam RM6.53 sekilogram seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal meningkat antara 11 hingga 20 peratus.
“Justeru, kami menjangkakan kos utiliti pengeluaran ayam dijangka meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 25 sen sekilogram. Jika tiada kenaikan harga ayam, penternak akan berterusan berdepan tekanan yang ketika ini pun menghadapi penetapan harga daripada pembekal sekitar RM5.80 hingga RM5.90 sekilogram.
“Jadi, kami berharap harga ayam di pasaran boleh ditingkatkan kepada RM10 sekilogram supaya penternak boleh menarik nafas bagi menghadapi peningkatan kos dengan memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM1 hingga RM2 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, ketika ini penternak perlu menaggung kos utiliti termasuk bil air dan elektrik sekitar RM9,000 hingga RM10,000 bergantung kepada saiz reban.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan kenaikan tarif air sehingga 22 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Februari ini.
Dalam pada itu, Nasiman mendedahkan sasaran pengeluaran ayam sehingga 140 peratus seperti ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2030 sukar dicapai dan membebankan para penternak berdasarkan situasi pengurusan dan kerenah birokrasi semasa.
Dakwanya, pengeluaran ayam negara kini berdepan penurunan sehingga 39 peratus dalam tempoh 10 tahun dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan apabila pengeluarannya berkurangan sekitar tiga juta ekor tahun lalu berbanding 2022.
“Ketika ini, pengeluaran ayam tempatan sekitar 147 juta ekor setahun sementara sasaran untuk dicapai pada 2030 pula adalah 818 juta ekor setahun bagi memenuhi peningkatan keperluan penduduk di negara ini sekitar 36 juta orang.
“Untuk mencapai pengeluaran sedemikian, bermakna setiap tahun penternak kena tambah pengeluaran 143 juta ekor bagi mencapai sasaran tersebut, sedangkan pelbagai masalah dihadapi penternak termasuk kerenah birokrasi kerajaan,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Idrus Zainal Abidin menjelaskan, antara kerenah birokrasi dihadapi para penternak tempatan lebih 10 tahun terutama isu kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri.
“Ada penternak yang didenda RM20,000 yang dicaj setiap tahun (sebagai kesalahan berulang) sebab bina reban tanpa kelulusan KM. Sukar dapat kelulusan KM sebab perlu persetujuan 14 jabatan dan agensi kerajaan. Kos dikenakan pula sehingga RM60,000.
“Masalah ini berlarutan terlalu lama, ada antara kami yang bina reban dan jual ayam dahulu untuk tampung kos KM. Sekitar 80 hingga 90 peratus daripada lebih 1,000 penternak dipercayai bina reban tanpa KM sebab berdepan kerenah birokrasi dan kos yang tinggi,” ujarnya. – UTUSAN