PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru semua penjawat awam agar segera mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU).
Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, sebagai kumpulan yang melaksanakan segala aspirasi kerajaan, penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program PADU.
Katanya, CUEPACS yakin jumlah pendaftaran PADU akan meningkat dengan mendadak, jika kira-kira 1.7 juta penjawat awam ketika ini mengambil tanggungjawab untuk mendaftar dengan lebih awal.
“Difahamkan ketika ini jumlah pendaftaran baru sahaja mencecah satu juta beberapa hari lalu.
“Justeru, penjawat harus perlu menjadi contoh dan mereka harus mendahului dalam seruan inisiatif kerajaan mendaftar PADU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketua jabatan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap kakitangan mereka mendaftar dan ingatan tersebut perlu dilakukan secara berkala.
Sehubungan itu, katanya, CUEPACS melalui semua gabungan kesatuan sekerja akan mengambil peranan proaktif dalam memastikan maklumat yang tepat sampai kepada penjawat awam.
“Pengumpulan data-data penjawat awam ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi sebagai satu justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan oleh CUEPACS.
Sokongan daripada semua pegawai awam untuk segera mengambil tindakan mendaftar sistem PADU wajar dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam semua organisasi sektor awam pada awal tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru supaya semua pihak di luar sana tidak menyebarkan gambaran salah mengenai sistem PADU terutama mengenai aspek keselamatan sistem tersebut.
Jelasnya, komitmen terhadap keselamatan dan privasi data turut menjadi keutamaan PADU seiring dengan saranan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) terutamanya dalam aspek penyimpanan maklumat.
“Perhatian yang teliti terhadap melindungi data pengguna atau rakyat ini menunjukkan dedikasi kerajaan yang berterusan untuk mengekalkan piawaian kepercayaan dan perlindungan data kerajaan pada tahap tertinggi,” ujarnya.
Katanya, objektif utama PADU adalah menjadikan ia sebagai pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.
Jelas beliau, dapatan daripada PADU ini akan dijadikan panduan oleh kerajaan untuk mengagihkan bantuan dan subsidi kerajaan supaya setiap ketirisan dapat dielakkan. – UTUSAN