Penjara 10 tahun, 12 sebatan minta bahan pornografi kanak-kanak 12 tahun

Penjara 10 tahun, 12 sebatan minta bahan pornografi kanak-kanak 12 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berkelulusan pendidikan awal kanak-kanak dipenjara 10 tahun dan dikenakan 12 sebatan terhadap empat kesalahan meminta bahan pornografi daripada seorang murid perempuan berusia 12 tahun melalui aplikasi WhatsApp ketika menjalin hubungan `cinta’ terlarang secara maya.

Mahkamah Tinggi Taiping, Perak menjatuhkan hukuman itu terhadap Hendra Mulana, 33, selepas mengurangkannya daripada 13 tahun bagi setiap pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Taiping. Hukuman berkuatkuasa serentak.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin membenarkan rayuannya terhadap hukuman manakala rayuan terhadap sabitan ditolak. Rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman turut ditolak dalam keputusan yang diumumkan pada 2 November 2023.

Hendra (perayu) disabitkan atas keempat-empat pertuduhan pindaan meminta bahan pornografi daripada kanak-kanak tersebut yang ketika itu berusia di bawah 18 tahun pada waktu-waktu tertentu di antara lewat malam dan awal pagi di antara 14 Oktober dan 17 Oktober 2019 di sebuah rumah di Changkat Jering.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan maksimum 15 tahun dan sebatan minimum sebanyak tiga kali.

Keterangan kes menyatakan, perayu memulakan langkah mendekati mangsa yang ketika itu masih menuntut dalam tahun enam sewaktu melayari platform penstriman langsung `Bigo’ dan hubungan secara maya itu berlanjutan hingga ke aplikasi WhatsApp.

Pada 16 Februari 2023, Mahkamah Sesyen mendapatinya bersalah atas keempat-keempat pertuduhan dan memerintahkan Hendra dipenjara 13 tahun dan dikenakan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan (jumlah 12 sebatan) manakala hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh keputusan.

Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu menjalani sesi kaunseling di penjara dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Dalam penghakiman bertarikh 3 Januari lalu yang diperolehi oleh pihak media hari ini, Noor Ruwena mengekalkan sabitan terhadap Hendra selepas berpuas hati wujud keterangan yang lebih daripada mencukupi terhadapnya manakala mangsa yang memberi keterangan secara bersumpah ketika berusia 15 tahun merupakan saksi yang kompeten.

Beliau bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa pembelaan Hendra adalah penafian kosong semata-mata apabila menyatakan perbuatan meminta pornografi itu tidak salah kerana menyangka mangsa telah dewasa dan menganggapnya sebagai kekasih.

Hakim bicara dalam keputusannya berkata, tertuduh menggelar dirinya `suami’ manakala mangsa `isteri’, disebabkan gelaran itu tertuduh merasakan kesemua perlakuan meminta kanak-kanak itu menghantar gambar-gambar lucah tidak salah kerana mereka pasangan yang sedang bercinta.

“Alasan tertuduh bahawa dia percaya bulat-bulat mangsa adalah dewasa, adalah tidak munasabah kerana tertuduh bukan seorang yang tidak berpendidikan sehingga tidak dapat membezakan ciri-ciri seorang perempuan dan kanak-kanak.

`Tidakkah tertuduh terfikir untuk menyiasat umur sebenar mangsa selepas berinteraksi dengannya? Tambahan pula dia mempunyai latar belakang dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak, ” demikian dapatan Mahkamah Sesyen.

Noor Ruwena berpendapat, perayu semestinya mengetahui banyak perkara berhubung latar belakang kanak-kanak itu, namun dia pura-pura tidak ambil peduli berhubung umur sebenar mangsa.

Beliau berpendapat, Hendra malah mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan memujuknya untuk berbual berhubung isu seks di telefon dalam keadaan dia mengetahui ibu bapa kanak-kanak itu tiada di rumah.

Meskipun mengetahui mangsa masih perlu menghadiri sesi persekolahan, dia mendesak kanak-kanak itu untuk memberikan `persembahan’ seks pada lewat malam untuk memuaskan nafsunya.

Hakim bicara berpuas hati bahawa tertuduh tidak menjalankan usaha atau ikhtiar untuk bertemu mangsa sendiri bagi memastikan sama ada dia seorang dewasa atau masih kanak-kanak.

Noor Ruwena dalam penghakimannya selanjutnya menyatakan beliau berpeluang melihat sendiri gambar mangsa dan berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang melihat gambar itu akan bersetuju bahawa mangsa masih seorang kanak-kanak meskipun perayu menyatakan mangsa menggunakan `filter’ ketika berkomunikasi dalam laman sosial.

Keterangan kes pada awalnya menunjukkan, mangsa mempunyai beberapa akaun Bigo yang merupakan platform khusus untuk orang dewasa yang diaktifkannya atas bantuan seorang rakan.

Kanak-kanak itu pada asalnya mengaku berusia 19 tahun dan menuntut dalam tingkatan enam, namun kemudiannya mendedahkan umurnya 14 tahun (meskipun ketika itu dia masih berusia 12 tahun) sewaktu mula mengenali Hendra secara lebih dekat.

Keterangan kes juga menyatakan, selepas meraih kepercayaan mangsa bahawa mereka sedang menjalin hubungan istimewa, lelaki itu bertindak lebih berani dengan menghantar gambar-gambar dan video lucah termasuk alat sulitnya kepada kanak-kanak itu.

Hendra malah memujuk mangsa menghantar gambar dan video buah dada dan kemaluannya dan berpura-pura merajuk jika mangsa enggan berbuat demikian. Mangsa akhirnya mengalah selepas mempercayai lelaki itu menyayanginya dan mengambil berat.

Insiden itu akhirnya diketahui oleh ibu mangsa pada 19 Oktober 2019 sewaktu memeriksa telefon bimbit anaknya ketika mangsa ke sekolah dan terkejut apabila melihat rakaman video dan perbualan lucah anaknya dengan lelaki itu menerusi aplikasi WhatsApp. Wanita itu kemudian membuat laporan polis pada 25 Oktober 2019, perayu ditahan pada 20 November di tempat kerjanya di Seri Petaling di sini.

Ketika siasatan, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengakstrak lima rakaman video lucah dan 83 gambar hasil komunikasi di antara kedua-duanya manakala sejumlah 2,447 komunikasi ditemukan di antara 10 September 2019 dan 22 Oktober 2019. Perayu kemudian didakwa di mahkamah pada 27 November 2019.

Hendra yang merupakan satu-satunya saksi pembelaan ketika prosiding bela diri berpendirian tindakannya tidak salah selepas beranggapan mereka pasangan kekasih dan memang berhasrat mengahwini mangsa.

Pembelaan yang dikemukakan adalah dia tidak mengetahui umur sebenar mangsa kerana kanak-kanak itu dalam profile `Bigo’ menyatakan usianya 19 tahun dan mengaku sebagai pelajar tingkatan enam.

Bagaimanapun, mangsa dalam keterangannya berkata, dia mengaku kepada perayu bahawa umurnya 14 tahun (meskipun ketika itu dia berusia 12 tahun). Pada prosiding itu, perayu diwakili oleh peguam Jefri Jaafar manakala Timbalan Pendakwa Raya Sall Chay Mei Ling mewakili pihak pendakwaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN