KUALA TERENGGANU: Peniaga premis makanan di pusat bandar raya ini terjejas setelah berlaku gangguan bekalan air, hari ini.
Pemilik Restoran Mat Binjai, Mamat Abdul Wahab berkata, beliau kecewa dengan situasi tersebut kerana menyukarkan operasi harian perniagaannya terutama untuk kerja-kerja pembersihan peralatan memasak di restoran itu.
“Gangguan bekalan air mula berlaku pada pukul 8 pagi tadi, mujurlah kami sempat memasak beberapa menu hidangan lebih awal untuk dijual.
“Namun, kami perlu mencari sumber air untuk kerja-kerja membasuh pinggan mangkuk, periuk, kuali dan penyediaan minuman.
“Ini bukan kali pertama gangguan bekalan air berlaku, sudah kali ketiga dalam tempoh dua bulan, saya kecewa kerana Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) tidak ada menyediakan alternatif untuk peniaga dalam menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Difahamkan, gangguan bekalan air itu berpunca kejadian paip pecah di depan di pusat bandar ini dan dijangka kembali pulih pada 3 petang nanti.
Tambahnya, percubaan untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada SATU juga mendapat jawapan mengecewakan kerana dia dimaklumkan perlu membayar RM400 untuk selori air.
“Kalau dulu, ada disediakan bekalan air bersih untuk kegunaan orang ramai jika berlaku gangguan namun, kali ini perlu bayar pula, memang saya kecewa,” katanya.
Seorang pengusaha kuih tradisional, Shahida Rahim, 34, pula berkata, dia terpaksa mengambil air dari rumah rakannya di Padang Midin di sini ntuk menyiapkan tempahan hari ini.
“Saya merupakan peniaga kecil sahaja, jualan harian pun sekitar RM150 hingga RM200 sahaja, apabila ada gangguan air memang terjejas sebab hasil keuntungan perlu digunakan untuk pembelian air mineral bagi tujuan memproses kuih-kuih tradisional
“Pihak SATU sekurang-kurangnya perlu menyediakan pelan alternatif untuk orang ramai mendapatkan sumber air bersih dengan mudah,” katanya. – UTUSAN