ISKANDAR PUTERI: Gara-gara terpedaya dengan pelaburan mata wang digital (Bitcoin), seorang peniaga kedai makan mendakwa mengalami kerugian RM413,522 setelah pelaburan yang dilakukannya tidak membuahkan hasil.
Mangsa berusia 56 tahun itu tampil membuat laporan polis semalam selepas menyedari dia ditipu kerana tidak boleh mengeluarkan nilai pelaburan RM7.09 juta (USD1.5 juta).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa tertarik dengan pelaburan Bitcoin di Facebook dan mendaftar melalui aplikasi yang disediakan.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut dan tmembuat pembayaran pada 6 November lalu.
“Sejak November hingga bulan ini, mangsa membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM413,522 menerusi sembilan akaun berlainan. Setelah dua bulan melabur, mangsa mendapati nilai pelaburannya bertambah sehingga hampir RM7 juta. Mangsa ingin membuat pengeluaran hasil pelaburan itu namun dimaklumkan perlu membuat bayaran sebanyak RM176,575 sebagai bayaran proses,” katanya hari ini.
Rahmat berkata, mangsa berasa tertipu kerana tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan itu dan tampil membuat laporan polis terhada suspek yang dipercayai warga tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN