KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus besar lembaga pertubuhan di negeri ini direman seminggu bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa.
Majistret Yuhanis Mohd. Roslan membenarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 50-an itu selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.
Suspek didakwa menyalahguna kuasa dengan meluluskan tuntutan bayaran pembelian pukat dan racun serangga berjumlah lebih RM6,000 yang mana dia memiliki kepentingan dalam urusan tersebut.
Suspek disyaki menggunakan isterinya dengan mengemukakan invois syarikat yang palsu dan perbuatan itu dilakukan sejak 2018 lagi.
Terdahulu, suspek ditahan di pejabatnya di sini kira-kira 12.05 tengah hari semalam.
Menurut sumber, dipercayai ada lebih banyak kes membabitkan pegawai-pegawai lembaga pertubuhan di negara ini yang menyalahgunakan jawatan atau kedudukan masing-masing.
Mereka disyaki terlibat sama ada meluluskan perolehan atau pembelian untuk kepentingan sendiri.
Katanya, pewartaan lembaga pertubuhan ini sebagai badan awam sejak Mei 2023 di bawah tafsiran Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694) membolehkan mereka ini didakwa kerana salah guna kuasa. – UTUSAN