ARAU: Keunikan tersendiri pasar pagi atau nat pokok getah di Pauh di sini menarik perhatian pengunjung yang memenuhi pasar berkenaan khususnya pada hari Ahad.
Disajikan dengan suasana nyaman dan redup di bawah rimbunan pokok getah, pasar pagi yang beroperasi pada Jumaat dan Ahad itu cukup unik dan menjadi antara lokasi tarikan pelancong di negeri ini.
Pemerhatian Utusan Malaysia di nat berkenaan seawal pukul 8 pagi mendapati ribuan pengunjung termasuk dari luar negeri ini meluangkan masa singgah membeli-belah di pasar pagi itu dengan kenderaan dilihat sesak sepanjang lebih tiga kilometer di laluan jalan besar ke lokasi tersebut.
Pelbagai barangan basah, pakaian, makanan, tumbuhan hiasan, barangan antik, barangan terpakai dan pelbagai lagi terdapat di nat pokok getah tersebut.
Nat tersebut juga menjadi tumpuan peminat barang antik di mana bahagian ‘pasar karatnya’ dianggap cukup istimewa dan menjadi tumpuan pengunjung di situ.
Kawasan tersebut juga menjadi tumpuan ramai kerana suasana membeli belah di bawah rimbunan pokok getah memberikan pengalaman sangat unik seperti di Pasar Khlong Ngae, di Thailand.
Pasar pagi yang menempatkan ratusan peniaga di sebuah kebun getah di Jalan Pauh kira-kira empat kilometer dari bandar Arau itu boleh dianggap sebagai lokasi ‘legenda’ di negeri ini sehingga menjadi salah satu lagi tarikan pelancong khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Seorang pengunjung, Faiz Ismail,35, berkata, suasana di nat pokok getah cukup unik di bawah rimbunan pokok getah selain terdapat pilihan barangan yang dijual di sini.
Katanya, jika dahulu, pasar pagi berkenaan hanya menjadi tumpuan penduduk sekitar namun sekarang menjadi pilihan pengunjung dari seluruh negara yang menjadikan lokasi berkenaan sebagai salah satu tempat ‘wajib’ disinggahi apabila bercuti di Perlis.
“Di bahagian menjual anak pokok buah-buahan dan pokok hiasan di sini juga menjadi tumpuan selain harganya juga berpatutan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Naim Hanif,25, pula berkata, dia yang datang bersama keluarga dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Perlis selama empat hari meluangkan masa singgah di pasar pagi ini.
“Orang sangat ramai sehingga kenderaan dilihat beratur panjang sehingga tiga kilometer. Suasana membeli belah di bawah rimbunan pokok getah memberikan pengalaman sangat unik seperti di Pasar Khlong Ngae,” katanya.-UTUSAN