Pengguna mengeluh tak sempat simpan air, 'serang' Facebook PBAPP

Pengguna mengeluh tak sempat simpan air, ‘serang’ Facebook PBAPP

KEADAAN paip bocor di dasar Sungai Perai, sehingga menjejaskan 200,000 pengguna air di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pengguna di negeri ini menjadikan laman sosial Facebook (FB) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebagai medium ‘serangan’ yang bertali arus ekoran gangguan bekalan air buat kali ketiga akibat paip pecah di dasar Sungai Perai, petang ini.

Tinjauan di FB PBAPP mendapati, ribuan pengguna meletakkan tanda marah dan sedih disebabkan kejadian yang berulang selain ada yang tidak sempat menyimpan bekalan air.

Ketika ini, lebih 40 kawasan di daerah Barat Daya mula terputus bekalan air sejak pukul 6 petang tadi diikuti beberapa lokasi di daerah Timur Laut dan di Seberang Perai.

Kawasan terjejas di daerah Barat Daya adalah di Bayan Baru, Bayan Lepas, Bukit Gedung, Teluk Kumbar, Sungai Ara dan Bukit Jambul, Batu Maung, Permatang Damar Laut serta di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ).

“Kena pelan apa nak buat dengan paip sedia ada, musim perayaan bakal tiba ni, dah perlu ada rencana untuk elak dan atasi isu macam ni,” kata seorang pengguna.

“Berapa lama pula tiada air, sudahlah kami tidak sempat simpan air. PBAPP tolong kemas kini segera tempoh baik pulih,” ujar seorang lagi pengguna.

“Lagi dan lagi berterusan masalah air bulan ini. Keperitan mengangkut air naik turun tangga bersambung episod lagi…dan yang pasti kami kawasan akhir yang akan terima air nanti,” balas pengguna media sosial lagi.

Sementara itu, pihak PBAPP turut meletakkan komen balas kepada seorang pengguna berhubung mesej tular yang dikongsi mengenai tempoh seminggu ketiadaan bekalan air yang didakwa dikeluarkan pihak terbabit.

“Pelanggan yang dihormati, sila ikuti laman rasmi FB PBAPP untuk sebarang kemas kini. Terima kasih,” tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi kejadian kebocoran besar secara mendadak pada bahagian saluran paip bawah permukaan air 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai, petang tadi. Kejadian tersebut akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di negeri ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN