SHAH ALAM: Kerajaan negeri memutuskan pengecualian cukai taksiran bagi rumah kos rendah diteruskan pada tahun ini seperti mana dilakukan dalam tempoh lapan tahun lepas.
Bagaimanapun, pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kampung akan dilaksanakan secara bersasar mengikut keluasan pegangan tapak tanah, berpendapatan RM5,000 ke bawah dan status warganegara yang menetap di negeri ini.
Sementara pengecualian fi lesen penjaja ditamatkan bermula 1 Januari tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, perubahan tersebut dilakukan selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 Disember lalu membenarkannya.
“Untuk rumah kos rendah tidak terjejas akan terus menikmati pengecualian. Kita mahu bantuan ini sampai kepada mereka yang sebenarnya memerlukan.
“Sebab kalau di Sekinchan sebagai contoh ada rumah dekat kampung baru yang lebih besar daripada banglo tetapi kalau kita pukul rata (pengecualian cukai taksiran) semua akan dapat, tidak adil kepada penduduk yang rumahnya tak besar.
“Oleh kerana kita sudah lapan tahun melaksanakan dasar tersebut, maka sudah sampai masa kita buat sedikit pindaan supaya ia lebih adil dan dapat membantu kumpulan-kumpulan sasar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau menjelaskan, pemansuhan pengecualian cukai itu berkuatkuasa bermula tahun ini melibatkan 310,740 pegangan hartanah di kampung baru dan tradisi di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Malah, beliau juga menganggarkan kutipan cukai taksiran bagi kategori tersebut mampu mencecah sehingga RM45.2 juta jika tiada permohonan pengecualian dibuat pada tahun ini.
“Ada orang bising, jadi kerajaan negeri dengar semua pandangan dan PBT berikan maklum balas, jadi kita buat satu tindakan yang komprehensif bagi memastikan mereka yang betul-betul memerlukan, golongan sasar, kita bantu dengan pengecualian. Yang rumah besar-besar dan mampu, kita minta mereka bayar.
“Ini seperti mana yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Madani iaitu subsidi bersasar, kita ke arah itu. Kita kena sampai satu peringkat fikirkan bantuan itu harus kepada mereka yang betul-betul memerlukan, bukan secara blanket,” ujarnya. – UTUSAN