MIRI: Mayat seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan ditemukan dengan beberapa kesan tikam pada muka dan leher di sebuah Taman Didikan Asuhan Kanak-Kanak (TADIKA) di Taman Tunku di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 9.30 pagi semalam.
“Laporan diterima daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemukan terbaring di hadapan pondok dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Susulan daripada itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di atas tanah dengan beberapa tusukan pada muka dan leher,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, setelah memeriksa, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ekoran daripada kejadian tersebut, BSJD Miri telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Kes kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes tersebut kerana dikhuatiri akan menganggu siasatan.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden berkenaan diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi ASP Dorairajah di talian 085-433730. – UTUSAN