Pengarah filem Mentega Terbang gagal ketepi perintah larangan bersuara

Pengarah filem Mentega Terbang gagal ketepi perintah larangan bersuara

MOHD. Khairianwar Jailani hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi permohonan semakan mengetepikan perintah larangan bersuara berkaitan kesnya. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah larangan bersuara terhadap pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd. Khairianwar Jailani agar tidak memberikan kenyataan berkaitan pertuduhan jenayah yang dihadapinya sehingga kes itu selesai.

Mohd. Khairianwar, 32, yang juga penulis skrip didakwa minggu lalu atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan pengarah itu untuk mengetepikan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 17 Januari lalu.

Beliau mengekalkan larangan bersuara terhadap Mohd. Khairianwar selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapinya selain bagi memelihara kepentingan perbicaraan yang akan didengar kelak.

Beliau turut mengekalkan jaminan RM6,000 terhadap Mohd. Khairianwar seperti yang diperintahkan oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim. Hakim Muniandy bagaimanapun mengetepikan syarat jaminan tambahan yang dikeluarkan oleh majistret berkenaan yang menghendaki tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Mohd. Khairianwar memfailkan permohonan semakan pada 18 Januari lalu untuk mengetepikan perintah larangan bersuara dan syarat tambahan agar melapor diri di balai polis.

Pada prosiding itu, pengarah filem tersebut selaku pemohon diwakili oleh peguam Zaid Malek manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nadia Muhd. Izhar dan Mohamad Mustafa P. Kunyalam mewakili pihak pendakwaan.

Terdahulu, Malik berhujah, larangan bersuara dibuat oleh majistret berkenaan tanpa menjustifikasikannya dengan bukti-bukti sama ada tertuduh pernah mengeluarkan kenyataan  berkaitan kes.

Hujah peguam bela, mahkamah hanya wajar mengeluarkan perintah itu selepas mematuhi syarat tertentu seperti yang diputuskan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Meskipun majistret berkenaan mengeluarkan perintah selepas mengambil kira tertuduh pernah membuat kenyataan sebelum ini, namun beliau gagal membuktikan kenyataan itu boleh menyebabkan berlaku `berat sebelah’ dalam perbicaraan,” hujah beliau.

Sementara itu, Mohamad Mustafa berhujah, situasi kes Najib berbeza kerana dalam kes itu, larangan bersuara melibatkan orang awam sebaliknya dalam kes Mohd. Khairianwar, perintah itu dikhususkan untuk tertuduh.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Khairianwar dan penerbit filem tersebut, Tan Meng Kheng, 37, didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya selaku pengarah, penulis skrip serta penerbit filem Mentega Terbang didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di sini pukul 12.34 tengahari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN