Penganjur perhimpunan jangan ‘play victim’ - Saifuddin

Penganjur perhimpunan jangan ‘play victim’ – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjur himpunan ‘Selamatkan Tanah Air Kita, Suara Rakyat ke Istana Negara’ jangan bersikap ‘play victim’ atau bertindak seolah-olah menjadi mangsa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan atau disiasat oleh pihak polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana himpunan yang berlangsung semalam di pekarangan Istana Negara adalah tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 berikutan tiada sebarang pemakluman atau notis diserahkan kepada polis.

“Kalau tak maklumkan kepada polis maksudnya mereka tidak patuh kepada akta perhimpunan dan kalau itu mengundang tindakan oleh polis seumpamanya memanggil penganjur, (maka) penganjur tak boleh ‘play victim’.

“Ia disebabkan keengganan mereka sendiri untuk melakukan perkara paling asas iaitu memaklumkan (kepada polis), tetapi itu tidak berlaku,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan kira-kira 1,000 orang menyertai perhimpunan berkenaan yang dianjurkan oleh sekretariat Pembela Tanah Air (PETA).

Sekretariat tersebut yang mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun untuk menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Antara yang hadir ke himpunan berkenaan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Syed Hassan Syed Ali.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius insiden berkenaan yang mengheret sama institusi Istana menerusi perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Jelasnya, kes tersebut disiasat oleh pasukan petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mengambil masa selama tujuh hari sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Aduan dibuat oleh pihak Istana Negara kerana institusi itu dikatakan memberi perkenan (untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong) dan ini adalah perbuatan mengheret sama institusi Istana dalam himpunan yang tidak pula dimaklumkan kepada polis dan itu mendorong pihak istana untuk membuat laporan (polis).

“Jadi apabila satu himpunan yang melibatkan premis penting iaitu di luar kawasan Istana Negara dan berlaku pula pelanggaran undang-undang, seharusnya pihak berkenaan (penganjur) mengambil tanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, sebanyak 78 perhimpunan aman yang dibenarkan sepanjang tahun lalu dengan jumlah sama kertas siasatan dibuka tanpa sebarang pertuduhan di mahkamah.

“Kalau ada lagi pihak yang mengatakan kebebasan bersuara disekat, kerajaan takut (dan sebagainya), tiada manusia yang akan percaya kerana mereka bebas membuat perhimpunan dan apabila disiasat, pendekatan yang dibuat lebih kepada memberikan nasihat dan teguran.

“Tetapi apabila ia sudah melampaui batas, seumpamanya mengheret sama nama istana, itu sudah sampai garis merah dan saya percaya polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan dakwaan oleh Chegu Bard bahawa tiga wakil Perikatan Nasional (PN) dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya