Pengadu kes Ebit Lew dipanggil sebagai saksi

Pengadu kes Ebit Lew dipanggil sebagai saksi perbicaraan akan datang

EBIT Lew bersama peguamnya, Ram Singh (kiri) semasa tiba di Mahkamah Majistret, Tenom hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Pengadu dalam kes perbicaraan gangguan seksual membabitkan Ebit Lew akan dipanggil sebagai saksi seterusnya pada perbicaraan yang akan bersambung semula pada Februari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil pengadu pada perbicaraan seterusnya kerana saksi kelapan, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik PDRM, Inspektor Yip Chang Ching meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.

Pihak pendakwaan memberitahu perkara itu selepas perbicaraan hari ini selesai kerana pihak pembelaan menyatakan tiada lagi soalan lain dan akan menyambung soalan pemeriksaan balas setelah laporan daripada LGMS diperoleh.

Laporan LGMS itu diperlukan oleh pendakwaan bagi menentang keterangan yang diberikan Chang Ching yang turut memberi keterangan berdasarkan laporan LGMS.

LGMS adalah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan keselamatan siber profesional yang menganalisis data digital.

Berikutan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil pada hari ini, Majistret Nur Asyraf Zolhani memutuskan perbicaraan akan disambung semula pada 13 hingga 15 Februari ini.

Mahkamah juga akan memasang penghadang di kandang saksi bagi melindungi identiti saksi seperti diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini bahawa identiti saksi tidak boleh didedahkan dalam laporan akhbar.

Semasa hari pertama perbicaraan pada 18 Februari 2022, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah larangan (gag order) agar identiti pengadu dalam kes berkenaan tidak didedahkan.

Maka, Mahkamah memberi peringatan kepada orang awam yang hadir dalam perbicaraan itu supaya tidak mendedahkan identiti pengadu.

Mahkamah kemudiannya mengekalkan tarikh 13 hingga 15 Februari serta 20 hingga 24 Mei sebagai sambungan perbicaraan. Tarikh baharu yang ditetapkan adalah pada 4 hingga 7 Jun akan datang.

Setakat ini, lapan saksi telah dipanggil dalam perbicaraan kes berkenaan iaitu Mohd. Fairuz Abu @ Akhi Fairuz Al-Jengkawi; Asisten Superitenden Salwani Mohd. Hadzir; Firdaus Wong Wai Hung; Asisten Superitenden Siti Nooraini Mohd. Sahid; Asisten Superitenden Norfazliyani Zolkapeli; Superitenden Hirdawati Isa; Asisten Superitenden Latifah Abdul Aziz dan Yip Chang Ching.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Timothy Daut dan Chen Wen Jye. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya