Penerbit, pengarah Mentega Terbang luka perasaan agama lain

Penerbit, pengarah filem Mentega Terbang didakwa luka perasaan agama lain

MOHD. Khairianwar Jailani Tan Meng Kheng tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem Mentega Terbang. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah filem kontroversi, Mentega Terbang mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.

Pengarah filem yang juga penulis skrip, Mohd. Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit Tan Meng Kheng, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim dan Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya selaku pengarah, penulis skrip serta penerbit filem Mentega Terbang didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di sini pukul 12.34 tengahari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikam Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling, Nadia Muhd. Izhar dan Abdul Malek Ayob manakala kedua-dua tertuduh diwakilli peguam N. Surendran dan Zaid Malek.

Terdahulu, Abdul Malik memohon kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perintah larangan bersuara dikenakan terhadap tertuduh kerana kerap membuat kenyataan kepada media.

“Pihak pendakwaan mahu kes ini diadili di mahkamah bukannya oleh masyarakat dan netizen, larangan supaya tidak memberi kenyataan dan komen hingga kes selesai.

“Syarat lain melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Surendran menyifatkan cadangan jaminan itu sebagai terlalu tinggi sebelum memohon anak guam masing-masing diikat jamin RM1,000.

“Mohd Khairianwar sudah berkahwin dan ada seorang anak, selain bekerja secara ‘freelance’ (bebas) dan tiada pendapatan tetap. Meng Kheng pula seorang guru dan terlibat dalam bidang penerbitan filem. Kedua-dua anak guam bergaji kira-kira RM3,000.

“Saya juga membantah ketiga-ketiga syarat tambahan berkenaan termasuk ‘gag order’ (perintah larangan) yang tiada asas dan jika ada kenyataan dikeluarkan bersifat subjudis, terpulang kepada pendakwaan untuk membuat sebarang permohonan pada masa sesuai,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Khairianwar diikat jamin RM6,000 manakala Meng Kheng RM6,500.

Noorelynna Hanim mengenakan syarat tambahan terhadap Mohd. Khairianwar iaitu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan manakala Meng Kheng tidak dikenakan syarat itu.

Kedua-dua tertuduh turut dikenakan syarat dilarang memberikan apa-apa kenyataan berkaitan kes yang dipertuduhkan sehingga kes dilupuskan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 Mac untuk sebutan bagi setiap kes.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penayangan filem kontroversi, Mentega Terbang di negara ini menerusi warta bertarikh 1 September 2023 yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos 2023.

Menurut warta berkenaan, larangan itu dibuat menerusi Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 turut mencakupi larangan pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem.

“Menteri melarang penayangan, pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem yang diperihalkan dalam jadual bertentangan dengan kepentingan awam di seluruh Malaysia.

“Bagi maksud perintah ini, filem yang disebut dalam sub perenggan, hendaklah termasuk bahan publisiti filem itu,” menurut warta berkenaan.

Berdasarkan warta itu juga, jadual yang dimaksudkan merujuk kepada tajuk filem iaitu Mentega Terbang, arahan Khairil Anwar terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment.

Filem Mentega Terbang didakwa menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia selain mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di platform dalam talian.

Selain itu, tular beberapa sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak tular itu kemudian mengundang marah warga maya yang mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN