SERAMAI 35 penduduk dan belia Tanjong Gahai menyambut Tahun Baharu 2024 dengan menyertai aktiviti berkayak di Sungai Jelai bermula dari Kampung Kuala Medang berakhir di Kampung Tanjung Gahai, Lipis baru-baru ini.
Penyelaras program, Yusaini Amir Mat Amin berkata, aktiviti berkayak menghilir Sungai Jelai dalam jarak kira-kira 10 kilometer sempena menyambut Tahun Baharu 2024 kebetulan cuti hujung minggu cukup menyeronokkan walaupun kebanyakan peserta agak letih berdayung.
“Aktiviti ini merupakan sebahagian promosi ke Pusat Pelancongan ECO Gahai untuk pengunjung luar yang berminat dengan sukan ekstrem, iaitu berkayak dan jet ski di Sungai Jelai, memancing ikan sungai, ronda dengan kenderaan All-terrain vehicle (ATV), menyelusuri Sungai Jelai dan menikmati makanan tempatan,” katanya di Kampung Tanjung Gahai, Lipis baru-baru ini. -UTUSAN