KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menasihatkan kepada mana-mana pencipta kandungan agar tidak menggunakan gimik tidak bermoral sebagai alat untuk memancing audiens untuk menonton drama atau program yang mereka hasilkan.
Katanya, tanggungjawab itu diletakkan di bahu setiap penggiat seni di negara ini yang berperanan dan mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat menerusi kandungan yang mereka pertontonkan.
“Saya berpandangan setiap kandungan yang dipertontonkan kepada umum perlu selari dengan nilai mendidik, menyebar informasi, menghibur, memberi inspirasi dan yang paling utama, tanggungjawab.
“Mereka yang mencipta kandungan tidak bermoral untuk memancing tontonan mungkin berjaya mengumpul audiens yang ramai selepas kandungan itu menjadi viral.
“Tetapi, harus diingat, ia tidak akan bertahan lama. Jadi, bertanggungjawablah terhadap setiap kandungan yang anda sajikan kepada umum. Saya percaya, ia tidak akan menjadikan produk anda bosan dan kosong,” katanya selepas sidang media rancangan Bintang RTM petang semalam.
Beliau mengulas tentang elemen tidak bermoral yang disertakan pencipta kandungan untuk melariskan content, drama atau filem.
Isu tersebut hangat diperkatakan selepas beberapa kandungan yang kurang sesuai pertontonkan kepada umum, tersebar di media sosial dan Internet antaranya babak lucah drama Syurga Itu Bukan Mudah dan kenyataan pelakon, Datuk Rosyam Nor berkenaan rumah pelacuran yang tular menerusi Youtube, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Suhaimi juga menggalakkan masyarakat agar terus bersuara, menolak sebarang kandungan atau paparan televisyen yang dangkal atau tidak bersesuaian untuk tontonan umum.
“Masyarakat ada pelbagai medium, antaranya media sosial yang mereka boleh gunakan untuk bersuara.
“Jadi sekiranya tersebar kandungan-kandungan yang menyentuh sensitiviti masyarakat atau bersifat lucah, suarakan tentangan anda menerusi platform yang betul.
“Nescaya pencipta kandungan akan lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti selepas mendapat teguran,” jelasnya.