PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani mencuri tumpuan apabila memuat naik sebuah video ala-ala persiapan majlis akad nikah menerusi Instagram.
Dalam video yang hampir mendapat setengah juta tontonan itu, Ismail menyatakan hasrat bakal berkongsi sesuatu yang istimewa pada 12 Januari ini.
“Hari istimewa Ismail Izzani. Assalamualaikum. Tidak sabar berkongsi kebahagiaan dengan anda semua pada 12.1. 2024 ini,” tulisnya pendek dalam ruangan kapsyen.
Penyanyi Bidadari itu menyarung baju Melayu putih lengkap bersampin sambil diiringi rakan-rakan ke Masjid Putra, Putrajaya.
Walaupun ramai yang sudah mengagak bahawa itu semua adalah gimik, namun ruangan komen dipenuhi dengan peminat yang mendoakan agar penyanyi itu benar-benar bertemu jodoh dan melangkah ke alam rumah tangga.
“Kalau betul Mael nak kahwin, tahniah!” kata seorang peminat.
“Kalau betul, aku nak patah hati kejap apapun tahniah semoga dipermudahkan,” tulis komen satu komen.
“Ini macam iklan baju Melayu tapi apapun tahniah,” kata komen yang lain.
Utusan Malaysia telah cuba mendapatkan kenyataan berkenaan video tersebut daripada empunya badan namun tidak berjaya.