PETALING JAYA: Penyewa tinggal secara percuma kerana pemilik rumah lama ‘menghilang’ tinggalkan tunggakan bil elektrik berjumlah RM21,894 setelah diminta keluar untuk proses lelongan.
Menurut perkongsian ejen hartanah, Rubi Hasman di akaun Facebook, dia dan suaminya melawat rumah berkenaan kerana tersenarai dalam rumah yang akan dibida.
Katanya, sebelum bidaan dimulakan, dia akan melawat rumah berkenaan sebelum terserempak dengan penyewa yang dikatakan tinggal secara percuma setelah pemiliknya tidak dapat dihubungi.
“Sebelum masuk bidding, kami pergi tengok rumah. Bila pusing-pusing, nampak rumah masih ada orang duduk,” katanya di hantaran Facebook.
Hantaran yang kemudian tular di aplikasi X terima reaksi bermacam dari warganet yang turut meninggalkan komen.
“Macam mana tertunggak sampai puluh ribu? Dua bulan tak bayar pun dah ada notis nak potong,” komen @twtbiy.
“Ini bukan orang yang menyewa, ini mungkin iblis dan pengikut-pengikutnya yang duduk,” tulis @EngkauIntan.
“Sebab itu bila kita bagi sewa kepada tenant, kita kena suruh dia buka akaun TNB dan bil air sendiri,” kata @Malaysian_25. – UTUSAN