KUALA LUMPUR: Seorang pemilik sebuah premis perniagaan didenda RM32,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memiliki 65 unit beg tiruan jenama mewah Gucci, tahun lalu.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Jenny Chen, 31, selepas wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda, dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS menjelaskannya. Mengikut pertuduhan, Jenny selaku pemilik premis didapati mempunyai barang-barang dalam kawalannya iaitu beg Gucci sebanyak 65 unit bagi maksud perdagangan.
Barang-barang itu yang merupakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019. Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Lorong Haji Taib, Off Jalan Raja Laut di sini pukul 1.10 tengah hari pada 27 Februari 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang salah cap dagangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Wan Mohd Adha Wan Kamaruzaman dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kuala Lumpur, memohon hukuman berbentuk pencegahan bagi memastikan hak pemilik cap dagang berdaftar terpelihara.
Bagaimanapun OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda paling minimum dengan alasan dia perlu melunaskan hutang perniagaan, sewa kedai dan menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota dari KPDN telah membuat pemeriksaan di premis tersebut. Hasil siasatan kemudian mendapati sebanyak 65 unit beg yang disita merupakan barang tiruan yang menggunakan cap dagangan Gucci secara salah. – UTUSAN