SERDANG: Sebarang kenyataan berbaur perkauman merupakan satu bentuk pemikiran lapuk kerana boleh merosakkan keharmonian dan kestabilan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua rakyat khususnya generasi muda agar diminta tidak melayani pemikiran tersebut yang dilihat boleh menghakis kestabilan dan keamanan negara.
“Ada mantan pemimpin riuh untuk melindungi kesalahan mereka dengan mencerca, rakyat Melayu malas, orang Cina dan India tidak taat.
“Ini pemikiran lapuk untuk merosakkan negara, saya harap rakyat terutamanya generasi muda jangan layan kerana kita tumpu untuk angkat martabat negara,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Peluncuran Program ‘Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat’ di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal.
Dr. Mahathir berkata demikian dalam satu temubual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India.
Mengulas lanjut dalam sidang akhbar, Anwar menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab, apatah lagi dikeluarkan oleh seorang bekas Perdana Menteri yang begitu lama dengan menghina mana-mana kaum sama ada majoriti atau minoriti.
“Beliau terkenal (keluar kenyataan) Melayu dikatakan malas kecuali dia, Cina dikatakan kurang setia melainkan beberapa kroni dia.
“Saya anggap kenyataan itu sangat keras dan tidak bertanggungjawab, bagi saya semua rakyat setia tanpa mengira mana-mana kaum.
“Kita harus mendakap soal kesatuan rakyat menjurus soal pokok, ini cubaan mengalih pandangan banteras rasuah. Tatakelola, Peralihan Tenaga, digital ini fokus kita,” katanya. – UTUSAN