Pemberita nafi ceroboh rumah MB Selangor - Utusan Malaysia

Pemberita nafi ceroboh rumah MB Selangor

Ceroboh MB
MOHAMAD Suffi Kamari (tengah) bersama dua rakannya yang ditahan pada Jumaat lalu, selesai membuat laporan polis di IPD Shah Alam, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga individu yang didakwa menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu, menafikan tuduhan tersebut.

Salah seorang individu tersebut, Mohamad Suffi Kamari, berkata, dia bersama dua lagi rakannya hadir ke kediaman tersebut sebagai wakil taskforce (pasukan petugas) sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

“Pada petang Jumaat itu, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu pertemuan di antara Menteri Besar Selangor dengan beberapa penduduk Kampung Sungai Sireh, Klang berkenaan isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) (di kediaman rasmi Menteri Besar).

“Saya diminta oleh Cikgu Mohd. Zai Mustafa, selaku wakil taskforce daripada Ummah untuk hadir sama dalam pertemuan itu,” katanya selepas membuat laporan polis bagi menafikan beberapa dakwaan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Jelas Mohamad Suffi, dia bersama dua rakannya dibenarkan masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar oleh pengawal yang bertugas dengan memaklumkan untuk menghadiri pertemuan terbabit.

Malah dia mengatakan sempat mengikuti pertemuan tersebut seketika serta bersalaman dengan Amirudin yang ketika itu mengetuai pertemuan terbabit.

“Belum selesai pertemuan itu, saya dipanggil oleh seorang pegawai di situ sebelum dituduh menceroboh, namun belum sempat menjelaskan tujuan sebenar saya ditangkap dan disiasat selama dua hari,” ujarnya.

Menurut Mohamad Suffi lagi, dia membuat laporan polis pada hari ini bagi menafikan laporan polis yang dibuat oleh seorang penyelia kediaman rasmi Menteri Besar pada Jumaat lalu.

“Laporan itu adalah palsu dan tidak menggambarkan kejadian sebenar. Tujuan laporan polis dibuat pada hari ini adalah untuk membersihkan nama saya serta memohon polis menjalankan siasatan di bawah peruntukan undang-undang berkenaan laporan palsu tersebut.

“Mengenai dakwaan ada yang menyorok dalam kereta, saya tidak boleh ulas kerana ia adalah persepktif yang berbeza dan biar pihak polis siasat hal itu,” katanya.

Sebelum ini, tiga pengamal media dilaporkan ditahan atas dakwaan menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kesemua individu yang datang ke kediaman Menteri Besar dengan menaiki sebuah kereta Proton Waja tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau dalam satu makluman mengesahkan menerima laporan balas daripada Mohamad Suffi dan menjangkakan laporan lengkap siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya