IPOH: Seorang pembantu kedai runcit berusia 21 tahun ditahan polis selepas disyaki mencabul pelancong wanita warga Sepanyol di Lorong Seni atau Lorong Panglima Ipoh dekat sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek warga tempatan itu ditangkap susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 22 tahun pada Rabu iaitu hari kejadian.
“Berdasarkan keterangan mangsa, kejadian itu berlaku pada pukul 7 malam selepas wanita itu dan rakannya diekori suspek dari sebuah hotel sehingga ke lokasi kejadian.
“Suspek kemudian telah meminta untuk bergambar dengan mangsa sebelum dia bertindak memeluk erat bahu wanita itu dan meramas dada.
“Mangsa yang terkejut telah menolak suspek dan menjerit, menyebabkan lelaki itu terus melarikan diri. Ketika kejadian, rakan mangsa sempat merakam gambar suspek,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tiada saksi lain yang menyaksikan kejadian ketika hujan renyai itu dan lokasi kes cabul itu berlaku adalah di kawasan lorong antara bangunan.
“Suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
“Kita telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek di mahkamah esok,” katanya. – UTUSAN