Pembantu kedai cabul pelancong, miliki video lucah didenda RM7,000 - Utusan Malaysia

Pembantu kedai cabul pelancong, miliki video lucah didenda RM7,000

MUHAMMAD Aiman Danial Mohd. Najib (tengah) dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah mencabul pelancong warga Sepanyol dan memiliki video lucah, minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pembantu kedai runcit didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul pelancong warga Sepanyol dan memiliki video lucah, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiman Danial Mohd. Najib, 22, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Lorong Seni atau Lorong Panglima Ipoh berdekatan Masjid Sultan Idris Shah Kedua di dalam daerah Kinta, pada pukul 7 petang, 24 Januari 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Tertuduh juga berdepan hukuman di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki video lucah di dalam telefon bimbit ketika ditahan di tepi jalan di Jalan C. M. Yusoff, Ipoh pada pukul 6 petang, 25 Januari 2024.

Sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Terdahulu, Nur Aqilah Syaza memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap lelaki itu mengambil kira kesan emosi terhadap mangsa namun Kathan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya itu mengakui kesilapannya dan berjanji tidak mengulangi perbuatan sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar kedua-dua denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dan rakan perempuannya telah diekori oleh suspek sehingga ke lokasi kejadian sebelum lelaki terbabit meminta untuk mengambil gambar bersama rakan mangsa.

Suspek yang kemudiannya bergambar dengan mangsa, telah memeluk erat bahu wanita tersebut sebelum bertindak keterlaluan dengan meramas dada mangsa.

Mangsa yang terkejut telah menolak suspek dan menjerit, menyebabkan lelaki itu terus melarikan diri. Ketika kejadian, rakan mangsa sempat merakam gambar suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya