IPOH: Pembangunan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan Bharu dekat Chemor dijangka memberi impak ekonomi kepada negeri Perak apabila membawa pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik bernilai RM14 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.03 bilion itu juga bakal membuka 13,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.
Katanya, projek itu akan dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan anak syarikatnya, Perak Corporation Berhad bersama rakan strategik, Advancecon Holdings Berhad.
“Pembangunan SVTP mendapat kerjasama strategik daripada Advancecon Holdings Berhad yang merupakan syarikat pakar kerja tanah dan kejuruteraan selain mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam membangunkan beberapa projek berskala besar.
“Kerjasama strategik dalam membangunkan SVTP ini dijangka membawa FDI dan domestik bernilai RM14 bilion selain menyediakan 13,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian Usahasama antara PKNPk dan Perak Corporation Berhad serta Advancecon Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Casuarina di Meru Raya di sini hari ini.
Pada majlis itu, PKNPk diwakili Ketua Eksekutif, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak manakala Perak Corp. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rosmin Mohamed dan Advancecon Holdings Berhad pula diwakili Datuk Phum Ang Kia selaku Ketua Pegawai Eksekutif.
Mengulas lanjut beliau berkata, melalui pemeteraian perjanjian usahasama itu, ketiga-tiga pihak akan menggabungkan sumber, kepakaran, kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam pembangunan SVTP.
Beliau berkata, dalam memastikan SVTP berupaya menjadi pemangkin dan pemacu kepada pembangunan perindustrian negeri dan menjadi hab perindustrian baharu negara, kerajaan negeri juga sama sekali tidak akan berkompromi terhadap isu kualiti dan keselamatan.
“SVTP ini terletak di lokasi strategik di antara Taman Perindustrian Kanthan dan Bandar Meru Raya, di mana ia sudah pun mempunyai ekosistem sokongan termasuk kedudukannya yang berdekatan dengan kemudahan asas sedia ada yang memberikan nilai tambah untuk menarik pelabur.
“Saya optimis bahawa pembangunan SVTP akan memberikan alternatif kepada graduan kelahiran Perak untuk kembali menyumbang kepada negeri ini melalui peluang pekerjaan yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, kerajaan negeri telah pun menyelesaikan isu setinggan di kawasan SVTP di mana tanah ganti telah pun diberikan kepada petani terlibat.
“Bagi kita, ia telah pun selesai sebab itu kita buat majlis memeterai perjanjian usahasama hari ini. Kita tidak akan toleh ke belakang lagi, kerana projek ini sudah tertangguh terlampau lama,” katanya. – UTUSAN