PETALING JAYA: Seorang pemandu lori yang memiliki 16 rekod jenayah ditahan selepas dipercayai mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Taman Ampang Utama di sini, Jumaat lalu.
Penahanan itu susulan laporan diterima polis daripada seorang juruteknik berusia 40 tahun berhubung kerosakan panggilan telefon oleh pelanggan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati kabel talian telah dipotong dan dicuri.
“Jumlah kabel yang dipotong dianggarkan empat batang yang pelbagai saiz sepanjang 150 meter dengan anggaran kerugian RM 6,000.
“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Hujan Gerimis, Overseas Union Garden, Kuala Lumpur pada pada 11.10 malam, hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis merampas kunci, lori jenis Mitsubishi, mesin pemotong dan wayar kabel bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau jenayah, dua rekod kes dadah dan satu rekod masih dikehendaki atas kesalahan dadah,” katanya.
Mohd. Azam berkata, siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan satu kes di daerah Ampang Jaya dan dua kes di daerah Brickfields, Kuala Lumpur.
“Suspek direman empat hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN