IPOH: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan melakukan amang seksual ke atas anak perempuannya antara 2021 hingga 2022.
Tertuduh berusia 54 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan maksud seksual telah melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya yang ketika kejadian berusia 16 tahun dengan cara mengarahkan mangsa menyapu krim di kemaluannya dan memeluk remaja terbabit dari belakang.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 9.30 malam dan 2 pagi di sebuah rumah di Taman Chemor Perdana di Ipoh pada hujung tahun 2021.
Tertuduh turut berhadapan dengan dua lagi pertuduhan apabila didakwa mengambil tangan remaja itu yang ketika kejadian berusia 17 tahun untuk menggosok kemaluannya selain menggosok belakang badan mangsa hingga pinggang dan punggung.
Dua kejadian itu masing-masing berlaku pukul 6 pagi di Taman Perumahan Awam 2, Hulu Kinta di Ipoh pada 7 Oktober 2022 dan pada pukul 9.30 malam di Kampung Tersusun Tasek Bercham pada hujung tahun 2022.
Kesemua pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh sehingga tiga tahun seperti mana di bawah Seksyen 295(1A) Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh namun jika jaminan diberikan, pihaknya memohon dikenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan minimum atas alasan mempunyai tanggungan termasuk kereta, rumah dan motosikal.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi empat pertuduhan dan menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN