Pemandu lori didakwa miliki 1,511 liter diesel tanpa lesen

Pemandu lori didakwa miliki 1,511 liter diesel tanpa lesen

NG Chee Kiang dihadapkan ke Makhamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 1,511 liter tanpa lesen yang sah.

Orang Kena Saman (OKS), Ng Chee Kiang, 52, mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dalam kawalan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 1,511 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah dan telah melakukan kesalahan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2 petang di premis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Karung Berkunci 1022 dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Ogos 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhana Mohd. dan Syafiq Mahadi bersama Pegawai Pendakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Hysam Mohd. Noor mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan. Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Februari depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN