KEPALA BATAS: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Bertam Perdana 5, di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd. Nazri Yusof bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 10.47 pagi.
“Kemalangan ini membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas sendiri dan melanggar sebatang pokok.
“Mangsa yang berusia 55 tahun didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan berada dalam keadaan separuh sedar.
“Anggota bomba yang lengkap dengan sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan peralatan khas melakukan kerja-kerja penyelamatan dan mangsa berjaya dikeluarkan pukul 11.07 pagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang patah tangan kiri dan kaki kiri dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.
“Komander Operasi membuat penilaian akhir di lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi tamat sepenuhnya pukul 11.18 pagi,” katanya. – UTUSAN