Pemancing dilaporkan hilang di Tasik Chenderoh ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Pemancing dilaporkan hilang di Tasik Chenderoh ditemukan lemas

ANGGOTA bomba membawa mayat lelaki yang ditemukan lemas dalam kejadian bot karam di Tasik Chenderoh, Sauk, Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Lelaki yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam ketika memancing di Tasik Chenderoh, Sauk di sini kelmarin, ditemukan lemas hari ini.

Mangsa, Muhammad Khairul Rusydan, 30, dijumpai pada pukul 8.37 pagi oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa dijumpai pada jarak 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Katanya, mayat mangsa dibawa naik ke tebing oleh anggota PPDA sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa ditemui di lokasi yang telah dikenal pasti oleh Unit K9 ketika membuat operasi pencarian pada petang semalam.

“Tindakan membuat pusaran air menggunakan teknik ‘figure of eight loop’ menggunakan bot bomba dilakukan di lokasi berkenaan dalam usaha menimbulkan mangsa.

“Mangsa ditemui terapung di lokasi berkenaan apabila operasi dimulakan pada pagi ini oleh anggota PPDA dan K9,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar diketuai Ketua Balai, Ahmad Izuwan Zakaria memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.32 petang, kelmarin.

Katanya, operasi itu turut dibantu pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan 20 nelayan darat.

“Semalam, operasi mencari mangsa dijalankan dalam radius satu kilometer (KM) bermula di bahagian tebing dan sekitar kawasan pulau berhampiran,” katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, sebuah bot yang dinaiki dua lelaki karam akibat dilanda ribut ketika sedang melakukan aktiviti memancing di Sungai Perak.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 41 tahun berjaya diselamatkan oleh pemancing lain manakala rakannya pula hilang dibawa arus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya