Pemalu kompang ketandusan pewaris - Utusan Malaysia

Pemalu kompang ketandusan pewaris

PERSEMBAHAN alunan kompang dari barisan Kumpulan Kompang Teruntung & Hadaro di The Godown Arts Centre, Lorong Ampang di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUT wajahnya sarat dengan pengalaman hidup. Memalu kompang seawal usia remaja ternyata merupakan ruang dan peluang yang tiada galang-ganti. 

Pengalaman lebih lima dekad itu melayakkan Badron Omar bergelar Adiguru Cendana Kompang Jawa, Kumpulan Kompang Anak Selangor (Kompas) yang ditubuhkan sejak 1976. 

Di usia 72 tahun, Badron yang berasal dari Kampung Parit Baru Darat, Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam masih setia memalu kompang bersama rakan seangkatan lain. 

Kongsinya, anggota kumpulan yang rata-rata berusia antara 50 hingga 93 tahun itu merupakan generasi kedua yang mewarisi seni Kompang Jawa Terontong dan Hadaro di kampung berkenaan. 

“Pemain kompang generasi pertama muncul sekitar era 40an. Mereka berasal dari Jawa, Indonesia. 

“Semasa berhijrah ke Malaysia, merekalah yang bertanggungjawab memperkenalkan dan menubuhkan kumpulan kompang ini. 

“Kiranya saya belum lahir lagi, seni kompang ini sudah muncul di kampung ini,” katanya selepas menyampaikan persembahan Kompang Jawa di The Godown, Kuala Lumpur, baru-baru ini.  

BIMBANG TIADA PEWARIS

Menurut Badron, Kompas yang asalnya hanya membuat persembahan di majlis perkahwinan, kini, tidak menang tangan memenuhi undangan.    

Sudah menjadi rutin mingguan, beliau bersama 15 ahli lain menerima jemputan persembahan di pelbagai lokasi termasuk di negeri lain. 

Bagi memastikan alunan kompang seirama, katanya, mereka mengadakan latihan pada setiap minggu di rumah salah seorang ahli di Sabak Bernam. 

“Selalunya kami buat latihan pada setiap malam minggu, bermula dari pukul 10 hingga 12 malam. 

“Kalau dahulu, ada juga anak muda menyertai sesi latihan sebab masih bersekolah di kampung. Namun, selepas masing-masing sudah menginjak dewasa dan mencari pekerjaan di bandar, bilangannya tidak sama seperti sebelum ini. 

“Bilangan kanak-kanak dan remaja yang minat terhadap kesenian kompang juga sudah makin berkurangan di kampung ini,” luahnya.

Badron berkata, kompang yang dimilikinya merupakan peninggalan zaman-berzaman yang diwarisi daripada bapanya yang sudah mencecah usia 80 tahun. 

“Ia dibuat dari kulit lembu dan pemegangnya daripada kulit kayu halban. Kalau dahulu, ramai pembuat kompang di Sabak Bernam, namun jumlahnya sekarang tidak sama seperti sebelum ini.  

“Jadi, ia perlu dijaga rapi dan disimpan elok di dalam beg kain serta diletakkan di tempat yang selamat. Apa yang penting jangan biarkan ia terhempas atau jatuh sahaja,” kongsinya.    

TERONTONG, HADARO 

Badron berkata, Kompang Jawa merangkumi dua bentuk tradisi iaitu Kompang Terontong dan Kompang Hadaro. 

Berbeza dengan bentuk kompang lain, katanya, Kompang Terontong merupakan tradisi kompang merdu yang menggunakan kompang pelbagai saiz yang mencerminkan alat muzik gamelan Jawa. 

Kompang Hadaro pula menampilkan irama yang lebih rancak dan kebiasaannya dimainkan oleh pemalu lebih muda. 

“Hadaro memang lahir di Malaysia dan bukan dari Jawa, Indonesia. Sebab itu, Hadaro dimainkan di banyak negeri termasuk di Johor dan Perak,” katanya. 

Secara tradisinya, katanya, seni ini dipersembahkan di masjid dan madrasah bagi menandakan sesi tamat pengajian atau khatam al-Quran, berkhatan dan perkahwinan. 

Kompang Jawa diiringi alunan selawat sepeerti ‘Assolatu’, ‘Ya-Solatun’ berdasarkan bait-bait yang terkandung dalam Kitab Barzanji. 

Setiap alunan kompang yang dimainkan juga berbeza berdasarkan helaian atau jenis selawat yang dilagukan.  

KOMPANG JAWA 

*Wujud pada zaman Wali Sembilan di Pulau Jawa.

*Berfungsi sebagai cara berdakwah bagi menarik minat masyarakat terhadap Islam.  

*Berbeza dengan kompang lain daripada aspek alatan, paluan dan lagu. 

*Muzik ini dibawa oleh pedagang dari Kepulauan Jawa ke negeri Selangor pada awal tahun 1900. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya