SHAH ALAM: Tawaran pekerjaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dalam sektor swasta masih berada pada tahap rendah di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan semua pihak meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan itu dalam pelbagai industri.
“Faktor kesesuaian bidang dan kemudahan infrastruktur mungkin menjadi kekangan utama dihadapi oleh majikan swasta. Namun, golongan OKU kini memiliki pendidikan tinggi dan mampu diserap untuk bekerja menerusi bimbingan dan latihan dalam bidang masing-masing.
“Cuma jumlah itu masih tidak ramai ketika ini dan sektor swasta digalakkan terus menawarkan peluang kepada mereka sama seperti insan normal lain,” katanya selepas merasmikan Kilang Gardenia Bakers Maison, hari ini.
Pada September lalu, beliau memaklumkan pelan strategi di bawah Dasar OKU dalam 15 bidang giat dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mendapat kesaksamaan hak dan peluang penyertaan penuh dalam masyarakat.
Pekerjaan antara fokus utama pelan itu selain advokasi, kesihatan, pemulihan, aksesibiliti, pendidikan, dan penyelidikan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut melakukan kajian mengenai OKU terutama peluang pekerjaan dan sistem sokongan bagi penjaga golongan tersebut.
Tambah Nancy, kerajaan turut menjalin kerjasama berterusan dengan sektor swasta menerusi program ‘Job Approaching’ bagi meningkatkan tawaran pekerjaan kepada rakyat termasuk OKU.
“Kita mahu memastikan bidang yang ditawarkan itu sesuai dengan kriteria pekerja termasuk latihan dan bimbingan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Gardenia bagi memperkasakan lagi program Bengkel Daya dan Anjung Sinar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bengkel Daya merupakan bengkel khusus bagi OKU yang tidak dapat pekerjaan di pasaran terbuka.
“Ia memfokuskan latihan dan peluang pekerjaan kepada golongan itu dalam pelbagai bidang termasuk roti dan pastri sekali gus membantu mereka memperoleh sumber pendapatan,” katanya. – UTUSAN