PETALING JAYA: Seorang wanita meluahkan kekesalannya terhadap pemilik sebuah kedai cuci kereta yang didakwa biadab setelah merosakkan kunci kereta miliknya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, wanita yang dikenali sebagai Aeenz berkata, kejadian itu berlaku apabila dia menghantar keretanya untuk dicuci di premis berkenaan.
Wanita itu mendakwa, kunci kereta berada dalam keadaan yang baik sebelum dia menyerahkan Proton Exora miliknya kepada pihak premis berkenaan.
“Aku bawa exora aku basuh premium dengan harga RM65 termasuk servis hapuskan lipas. Masa aku hantar kereta, kunci kereta masih elok dan bila aku datang untuk ambil kereta aku semula, enjin sudah dihidupkan,” jelasnya di ruangan kapsyen.
Kemudian, wanita itu berkata, setelah keluar dari kedai terbabit, dia mendapati kunci kereta berderai dan memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya sebelum kembali semula ke premis berkenaan.
“Selang 10 hingga 15 buah kedai aku nak tutup enjin pergi kedai kawan aku dan masa inilah aku tahu kunci aku dah berderai. Cip, bateri sudah berderai daripada sarung kunci,” katanya.
Mengulas lanjut, Aeenz dan suaminya kembali ke kedai itu dan keadaan mula tegang apabila pemilik kedai itu mendakwa wanita tersebut yang menghidupkan enjin kereta sebaik kenderaan berkenaan selesai dicuci.
Katanya, pemilik premis itu enggan bertanggungjawab dan bertindak biadab dengan menghalau mereka meskipun pihaknya sudah cuba menyelesaikan secara baik.
“Dia tak habis salahkan aku yang patahkan kunci itu. Takkan aku bodoh sangat nak patahkan kunci padahal aku juga yang nak berjalan jauh.
“Sekurang-kurangnya adalah sikit rasa tanggungjawab sebab aku dah bagi 100 peratus kepercayaan untuk basuh kereta di situ tetapi apa yang aku dapat hanyalah makian dan dia halau aku,” ujarnya.
Video berkenaan telah tular di media sosial dan menerima sebanyak 1.6 juta tontonan, 14,300 tanda suka dan lebih 9,000 perkongsian. – UTUSAN