Seramai 30 pelajar Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah kelolaan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) menganjurkan Program World Clean Up Day 2.0 di Pengkalan Nelayan, Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Program hasil kerjasama strategik antara UPM, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASKUM), Selangor Maritime Gateway (SMG) oleh Landasan Lumayan Sdn. Bhd. dan komuniti setempat dianjurkan sebagai inisiatif untuk menjaga dan memelihara kebersihan kawasan Sungai Klang.
Program yang berpaksikan elemen kelestarian alam itu diadakan bagi membantu kawasan Sungai Klang sentiasa bersih dari sampah yang kerap kali memenuhi kawasan tersebut ketika air pasang dan surut.
Sebanyak 120 kilogram sampah berjaya dikumpul hasil aktiviti pembersihan tersebut.
Program ini juga membuka laluan kepada pelajar UPM mengasah kemahiran insaniah melalui sumbangan signifikan kepada aspek pemuliharaan alam sekitar berpaksikan motto UPM “Berilmu Berbakti”. –UTUSAN