Pelajar pengotor hidap masalah mental? - Utusan Malaysia

Pelajar pengotor hidap masalah mental?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAJU-baju termasuk pakaian dalam berselerak di atas katil dan lantai manakala bungkusan dan sisa makanan pula bersepah di sana sini.

Malah, buku-buku dan peralatan menulis yang sepatutnya tersusun kemas di atas meja, namun dilempar merata-rata.

Itu antara kisah dan karenah penghuni bilik pengotor yang sering dibaca serta dikongsikan di media sosial.

Sukar untuk membayangkan bagaimana seorang pelajar boleh ‘hidup’ dalam suasana bilik kotor, berbau dan menjijikan yang tidak ubah seperti sebuah reban ayam.

Mengupas isu ini, Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, dua faktor dikenal pasti mempengaruhi seseorang jadi pengotor iaitu masalah kesihatan mental di samping sikap.

Katanya, pelajar yang menderita penyakit major depressive disorder (MDD) atau kemurungan teruk kebiasaannya gagal menguruskan diri termasuk kadang kala tidak mandi dan keluar bilik selama berbulan-bulan.

“Jika penyakitnya sudah di tahap serius, pelajar itu hanya fikir mahu mati, hidupnya tidak berguna dan tiada masa depan.

“Namun, ada juga kes yang bukan berpunca akibat masalah kesihatan mental, sebaliknya sikap pengotor pelajar yang tidak peka terhadap isu kebersihan dan kekemasan bilik atau rumah.

“Dakwaan kononnya seseorang yang berpenampilan cantik di luar tetapi, bilik macam tempat pembuangan sampah, hakikatnya memang wujud kerana ada beberapa kes yang pernah saya kendalikan sebelum ini,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, tular di laman TikTok mengenai kisah seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang didakwa enggan mengemas bilik selama setahun atas alasan menghidap depresi.

Pendedahan tersebut dibuat rakan sebiliknya yang tertekan kerana terpaksa melalui situasi itu saban hari.

Mengulas lanjut, menurut Mohammad Aziz Shah, sikap pengotor akan menyebabkan pelajar jadi berserabut dan ditimpa banyak masalah dalam hidup termasuk dari segi pelajaran, kerap jatuh sakit di samping iritasi kulit.

Tegasnya, situasi itu bukan sahaja boleh merosakkan individu, bahkan mengganggu keharmonian dan kesihatan rakan sebilik atau serumah yang tidak selesa dengan kekotoran.

Peranan rakan sebilik 

Jika terbukti individu pengotor bermasalah kesihatan mental dan tidak peduli tentang isu kebersihan, maka menjadi tanggungjawab rakan sebiliknya untuk membantu individu itu mendapatkan rawatan kaunseling atau psikiatri.

Kata Mohammad Aziz Shah, langkah itu dapat membantu mengubah semula kehidupan pelajar berkenaan agar kembali sembuh dan tidak terperangkap dalam kesedihan melampau.

Ujarnya, bagi yang memiliki sikap pengotor pula, rakan sebilik perlu menegur secara berhemah tentang aspek kekemasan serta kebersihan untuk keselesaan bersama.

“Tunjukkan juga teladan yang baik agar individu itu malu alah dan mahu berubah. 

“Jika kedua-dua cara itu tidak jalan, maka rakan sebilik berhak menegur sekali lagi dan kemudian beri amaran tentang risiko diusir atau dilaporkan kepada pengurusan universiti,” katanya.

Pengotor ancam kerjaya, kehidupan

Sikap pengotor yang berlarutan hingga dewasa boleh mengancam kerjaya dan kehidupan seseorang di masa depan.

Mohammad Aziz Shah berkata, individu pengotor sukar untuk menguruskan tugasan dengan baik di samping keadaan diri, meja dan fail yang sentiasa tidak terurus.

“Sampai satu tahap, ia boleh mengganggu prestasi dan hubungan dengan rakan sekerja lain.

“Bagi yang baharu berumahtangga, pasti berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasangan dan keluarga mentua jika berterusan dengan sikap pengotor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya